Ayam Pandan

Hari minggu lepas aku nak try buat ayam goreng pandan, selalu aku beli je kat tempat kerja ku. Pagi-pagi ada abang yang jual nasi lemak tu goreng ayam pandan sekali kat tempat dia jual tu. Baunya MasyaAllah...sedapnya...harganya boleh tahan la. seketul dia jual dengan harga RM2.50. kalau besar aku tak kisah sangat. Ni kecil je. kadang-kadang aku beli terkena bahagia tulang belakang. Mak oii...apa nak di makan. Kat tulang belakang tu mana ada isi sangat kan. Dulu aku pernah beli , simpan dalam fridge kat ofis aku, bawa balik nak makan dengan suami. Suami aku pun cakap sedappp... So, aku nak try la buat kalau-kalau nak menjadi....

Bahan-bahan

1/2 kilo ayam (dopotong sederhana kecil)
daun pandan

Bahan rempah (semua dikisar halus)

3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia (aku guna serbuk halia je 1 sudu besar)
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup (aku gunakan serbut kunyit je 1 sudu)
1 batang serai
cili ikut suka (nak pedas guna cili padi)(aku guna serbuk cili je 1 sudu besar)
1 sudu kecil biji ketumbar
1 sudu besar jintan manis (aku letak banyak sikit sebab suka rasanya)
garam, gula, serbuk perasa dan madu secukup rasa

Cara-caranya

1. gaul ayam dengan semua bahan sampai sebati
2. balut ayam dengan daun pandan, sematkan dengan lidi supaya tak terbuka
3. perap selama mungkin. kalau nak masak untuk makan malam, perap la ayam tu dalam tengahari. kalau nak makan tengahari buat sebelum tidur dan simpan dalam peti ais.
4. goreng dengan api yang sangat perlahan.

Tips : seeloknya bakar dulu ayam tu dalam ketuhar 2/3 masak baru digoreng. kalau digoreng terus ianya cepat hangus sebab ayam tu bercampur madu. kalau tak letak madu boleh la digoreng terus tapi pastikan api kena perlahan.

Aku buat ni untuk hidangan makan malam. Bila suami ku pulang dari kerja, baru la kami makan. kata suami ku ...sedapppppppppp sangat-sangat. Aku masak 4 ketul je, 2 ketul seorang ( takut tak habis, nanti membazir pulak. kami makan berdua je. belum ada anak lagi) pun masih tak cukup. Yang selebihnya aku simpan dalam peti ais (tempat beku) untuk dimasak lain hari. Kata suami ku, "lain kali boleh buat lagi tak ayang..."
0 comments

Sup Cendawan Ala Cina



Dulu aku tak berapa pandai memasak sayur-sayuran. Aku seorang yang kurang makan sayur dari kecil lagi. Apabila dah bergelar isteri aku terpaksa belajar memasaknya. Suami ku suka sangat dengan sayur-sayuran. Kalau makan nasi mesti kena ada sayur. Jadi aku cubalah masak macam-macam jenis sayuran tetapi ada satu yang memikat hatinya iaitu sup cendawan. Kalau boleh hari-hari dia minta aku masak sup cendawan.

Kat sini aku nak kongsi la resepinya. Selain dari tu, kalau aku dah lupa macamana nak masak nanti boleh la aku 'refer' kat sini...ya tak???

Bahan-bahan

250 gram cendawan tiram
2 ulas bawang putih (diketuk/ cincang)
4 biji cili padi (kalau suka lagi pedas, tambah byk sikit)-diketuk/potong kecil
1 keping kek ikan ( di hiris nipis)
1 sb sos tiram
1 sb serbuk pati ayam (kalau kurang masin tambah sikit lagi)
1 sk serbuk lada sulah
2 cawan air (kalau tak suka kuah banyak kurangkan air)
1/2 cawan air dibancuh dengan 1 sb tepung jagung
1 biji telur
2 sb minyak untuk menumis

Cara-caranya

1. Cendawan dipotong kecil-kecil
2. panaskan minyak dan tumis bawang putih dan cili padi
3. masukkan kek ikan - goreng sekejap tapi jangan sampai hangus
4. masukkan sos tiram, serbuk lada sulah, pati ayam dan baru masukkan air.(masa menumis jangan besarkan api takut cepat hangus)
5. bila dah masukkan air baru boleh besarkan api.
6. masukkan cendawan. tunggu sampai mendidih.
7. masukkan telur yang telah dipukul (jangan terus kacau, biarkan sekejap dalam 5- 10 saat baru kacau. kalau tak kuah akan nampak macam keruh)
8. bila serpihan telur dah beku baru masukkan air bancuhan tepung jagung. (yang ni kena kacau terus kalau tak berketul la kuah tu nanti.)

Tips : kalau kuah terlampau pekat boleh tambahkan air. kalau kurang masin boleh la tambahkan garam atau serbuk pati ayam. saya tidak menggunakan garam dan perasa sebab serbuk pati ayam sudah secukup rasa. saya gunakan serbuk pati ayam Tumix dalam apa saja masakan saya. sebelum ni saya gunakan jenama maggi tapi rasanya tumix lagi sedap.
0 comments

Kisah Hidupku Bhg 3

Maka, pada akhir tahun 1990 aku memulakan langkah ke negeri Johor dengan perasaan gembira. Aku di tempatkan di sebuah rumah di kawasan Bandar Kluang yang telah dijadikan hostel yang baru dan hanya rombongan kami je tinggal di situ. Pada sangkaan ku, hidup berjauhan dengan keluarga dapat memberikan kebebasan kepada aku, dan ianya amat mengembirakan. Namun pe yang terjadi adalah sebaliknya.

Sebagai seorang anak yang tak pernah kenal erti kebebasan dan kehidupan di kota metropolitan, aku telah bergaul dengan kawan-kawan yang membawa aku mengenali semua itu. Daripada seorang yang bertudung dari zaman sekolah rendah lagi, aku mengubah penampilanku. Aku dah mula pakai skirt tapi bukan la skirt yang singkat sampai paha cuma paras betis je dan melepaskan rambutku yang panjang sampai paras punggung. Syukur sebab aku masih lagi ingat asal usulku. Dan aku juga tak pernah berpakaian seksi selama ini bila berada di luar rumah.

Kerana terlalu mengikut kawan-kawan juga lah , aku nyaris-nyaris termakan pujukan dan rayuan seorang lelaki yang kukira terlalu baik pada mulanya. Satu malam, dia memujuk ku supaya temankan dia makan malam. Pada mulanya aku menolak sebab dia tak bagi aku bawa kawan untuk temankan aku. Tetapi aku akur juga sebab dia terus-terusan memujuk ku. Dengan membonceng motosikal bersamanya, kami kesatu gerai makan yang tak berapa jauh dari hostelku. Selepas makan dia mengajak ku kerumahnya yang tidak berapa jauh dari situ. Katanya dia ingin mengambil sesuatu yang tertinggal. Ku sangkakan dia tinggal bersama keluarganya, jadi aku ikut je la.

Sampai je kat depan rumahnya (rumah jenis kotak 4 pintu), aku lihat rumahnya gelap gelita. Rumah sebelah nya cerah bermakna ada orang di dalamnya. Dia mengajak ku masuk ke dalam tetapi aku menolaknya sebab takut nanti kena tangkap basah pulak. Tetapi dia terus-terusan mengajak ku ke dalam dengan menarik tangan aku seperti memaksa. Aku manyuruh dia bukakan lampu dahulu baru aku masuk tetapi ternyata dia mepunyai niat lain. Dengan menarik tangan ku sambil memaksa aku masuk ke dalam, dia terus menutup pintu tetapi aku tahan pintu tu dengan kaki ku. Aku cuma seorang wanita yang lemah mana mampu melawan tenaga seorang lelaki.

Akhirnya pintu tu tertutup juga dan dia memelukku dari belakang sambil menarik aku kedalam rumahnya dalam keadaan gelap gelita. Tetapi aku tetap melawan dengan berpauk pada tombol pintu sambil mencari-cari untuk membuka kunci pintu tersebut. Aku nyaris diperkosanya tetapi tuhan masih menyayangi aku. Dengan tidak disangka tombol pintu rumah nya serupa dengan tombol pintu dapur rumah aku kat kampung. Memang susah sikit nak buka kalau orang tak tau. (Tombol pintu jenis zaman dahulu, bukan macam tombol zaman sekarang yang senang dibuka). Di saat aku dalam kesusahan untuk melepaskan diri dari pelukan lelaki tersebut, yang terlintas di fikiran ku kala itu adalah wajah ibubapaku.

Kalau apa-apa berlaku kepadaku tentu mereka lah yang mendapat malu. Lantas aku memohon pada Allah semoga selamatkan aku dari lelaki jahanam itu. Aku meraung meminta tolong tetapi tiada sesiapa pun yang mendengar suaraku, kerana mulut aku telah ditutup oleh tangan lelaki jahanam itu. Dengan kekuatan yang diberikan Allah pada ku ketika itu aku dapat menolak lelaki itu dan terus membuka pintu dan melarikan diri tetapi sempat lagi aku mengambil kasut aku.. Aku menoleh ke belakang kalau-kalau lelaki jahanam itu mengekoriku. Rumahnya dengan hostel aku cuma lebih kurang 3 km sahaja. Sambil berlari-lari sesekali aku menoleh kebelakang apabila terdengar bunyi motosikal. Aku takut kalau-kalau lelaki tu masih mengejar ku tetapi ternyata aku dalam keadaan selamat. Ternyata Allah telah mendengar doaku dan terus melindungi aku. Akhirnya aku sampai ke hostel dengan keadaan selamat. Sampai di hostel aku menangis-nangis dan menceritakan apa yang berlaku kepada kawan-kawanku.

Bersambung...
0 comments

Kisah Hidupku Bhg 2

Dalam masa menunggu keputusan SPM dan tawaran ke universiti, aku tidak meneruskan pengajian ke sekolah menengah tinggi disebabkan keadaan ayahku yang tidak berapa sihat. Ayah disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan asma yang kronik di awal tahun 1989, di saat aku ingin menghadapi peperiksaan SPM. Ayah dah tak boleh bekerja kuat seperti dulu lagi dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kesian juga aku tengok ayah dan mak. Kadang-kadang ayah terpaksa tinggal di wad hospital untuk beberapa hari. Mak lah yang selalu temankan ayah bila ayah masuk hospital. Tinggallah kami adik beradik di rumah bersama nenek.

Ibu ku seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Tanggungan keluarga semuanya terletak atas bahu ayahku. Aku pula mempunyai 7 orang adik beradik dan aku adalah anak yang ke 3. Adik-adik ku semuanya masih bersekolah. Adik yang bongsu baru darjah 5.
Kata mak, macamana aku nak bersekolah kalau takde duit. Mak mula buat kuih untuk dijual pada waktu pagi dan petang dan mula berjimat untuk membolehkan aku dan adik-adik menghabiskan persekolahan kami di sekolah menengah rendah. Kadang-kadang aku dan adik-adik tolong juga menjaja kuih di sekitar kampung. Kalau sekolah menengah tinggi pun aku tak dapat teruskan macamana nak ke universiti. Hatiku tiba-tiba rasa pilu dan sedih. Apa yang harus aku lakukan.

Mengenangkan keadaan itulah aku mengambil keputusan untuk bekerja kilang. Aku juga mula mengisi borang-borang kerja kerajaan yang keluar dalam suratkhabar. Aku cuma memohon untuk jawatan yang rendah-rendah saja yang sepadan dengan kelayakan ku. Ada juga aku memohon untuk jawatan yang layak dengan keputusan SRP sahaja. Apa boleh buat, aku terpaksa bekerja demi mengenangkan nasib keluargaku. Dalam pada itu aku juga tetap berharap dan berdoa pada Allah semoga aku akan mendapat tawaran dan melayakkan aku untuk meneruskan pengajianku.

Satu hari aku menerima surat tawaran untuk memasuki salah sebuah universiti di utara tanah air. Aku benar-benar gembira namun kegembiraan ku hanya sekejap sahaja. Kata mak, aku nak teruskan sekolah dengan apa? Nak bayar yuran dengan apa? Nak ke sana bagaimana? Mana nak dapat duit untuk perbelanjaan…Adik-adik pun masih bersekolah lagi.. Aku tidak membantah kerana aku benar-benar faham keadaan bapaku yang sudah tidak boleh bekerja lagi. Namun jauh disudut hatiku, aku benar-benar kecewa dan sedih.

Aku tahu ibu bapa ku tidak menghalang untuk aku teruskan pengajian tetapi disebabkan keadaan keluargaku pada ketika itu tidak mengizinkan. Mak kata kalau ada duit memang tak ada masalah tapi kat mana nak cari duit. Kita bukan orang kaya. Di peringat sekolah menengah pun aku seringkali terlambat untuk membayar tambang bas apatah lagi untuk membayar yuran hostel. Aku terpilih untuk tinggal di hostel disebabkan keputusan cemerlang ku. Pemilihan ini hanya diberi keutamaan kepada mereka yang layak dan yang ingin menduduki peperiksaan SRP dan SPM sahaja.

Sehingga keputusan peperiksaan SPM telah keluar pun aku masih lagi tidak dapat melunaskan yuran hostel. Namun disebabkan keputusan cemerlangku di dalam peperiksaan tersebut, guru besar telah memansuhkan hutang tersebut. Jadi aku tak perlu membayar apa-apa lagi kepada pihak sekolah. Ternyata guru-guru disekolah ku dulu benar-benar memahami kedaifan keluarga aku. Aku mengucapkan syukur pada Allah.

Aku tidak mempunyai kakak, Cuma ada 2 orang abang. Abang-abang ku juga terpaksa menamatkan pengajian setakat peringkat SPM sahaja. Itu aku tak kisah sebab keputusan SPM mereka pun tidak memberangsangkan. Mereka berdua mempunyai bakat semulajadi macam ayahku. Ayahku seorang tukang rumah dan boleh dikatakan kesemua adik beradik ku termasuk diriku mempunyai bakat yang kreatif macam ayah.

Setelah tamat je persekolahan, abang-abangku bekerja sebagai buruh kontrak. Ringan la sikit beban ayahku. Tetapi berapa ringgit sangat gaji mereka untuk menanggung persekolahan kami. Atas pujukan seorang kawan yang sama-sama bersekolah dengan ku, aku membawa diri ke Kluang Johor. Penghijrahan ku ke negeri Johor bukanlah dirancang tetapi disebabkan terlalu kecewa kerana tidak dapat memasuki pusat pengajian tinggi. Aku bukan pergi berdua sahaja tetapi ada lagi beberapa orang yang aku tak kenal pada mulanya. Sebenarnya aku telah memohon untuk bekerja kilang di sana dan kebetulan mereka telah datang ke kelantan untuk mencari pekerja seramai yang boleh.

Aku mengikuti rombongan tersebut walaupun ibubapaku terasa amat berat untuk melepaskan aku pergi. Apa tidaknya, aku bukan seorang anak yang pernah berpisah dari keluargaku. Bandar Kota Bharu pun aku boleh sesat kalau aku keluar sendirian, inikan pula tempat yang terlalu asing bagi aku. Aku menyakinkan keluarga aku dengan mengatakan aku malu untuk tinggal di kampung sebab tak dapat meneruskan pengajian sedangkan kawan-kawan sekampungku semuanya telah meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Lagi pun aku cakap aku bukan pergi sendirian, aku bersama rombongan. Akhirnya ibubapa ku terpaksa mengalah.

Bersambung...
0 comments

Kisah Hidupku Bhg 1

Sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan SPM, aku sudah buat perancangan untuk mencari kerja sementara untuk memenuhi masa terbuang. Bersama kawan seperjuangan, kami terus memulakan langkah ke sebuah kilang yang terletak di kawasan perindustrian yang tidak berapa jauh dari rumahku. Dari satu kilang ke satu kilang akhirnya kami diterima bekerja di sebuah kilang pakaian. Kawanku ditempatkan dibahagian potong lebihan benang sedangkan aku pula di bahagian mengosok pakaian.

Kilang tu memang besar dan mempunyai lebih dari seribu pekerja. Kawanku beruntung sebab dia bekerja dalam keadaan duduk sahaja tetapi aku pula bekerja sambil berdiri sepanjang masa sampai waktu balik. Dah la panas sebab kilang tu cuma guna kipas je, bertambah lagi bahang dari sterika yang terlalu banyak. Mana aku dapat bertahan. Berpeluh-peluh aku sepanjang masa, kaki pula terasa lenguh sebab asyik berdiri je. Kadang-kadang aku curi-curi juga untuk duduk tapi mana boleh lama sebab kerja aku memerlukan untuk aku capai target. Sehari mesti kena dapat target yang telah ditetapkan.

Kadang-kadang baju yang aku dah gosok pun mereka akan ‘reject’ atas sebab tertentu. Walaupun begitu aku tetap bersabar, ku kira ini hanya sementara waktu sahaja. Selang beberapa hari tiba pula bulan puasa. Kesabaranku makin tergugat. Kejap-kejap aku ke tandas untuk membasahkan tubuhku. Dan kadang-kadang juga disebabkan aku tidak dapat bertahan lagi, aku curi-curi minum air kat dalam tandas tu. Batal puasa aku tetapi Tuhan je yang tahu keadaan aku masa tu. Kali ni aku dah nekad untuk berhenti kerja. Bila dapat je duit gaji aku terus berhenti. Aku nak cari kerja lain.

Selepas berhenti dari kilang pakaian , aku bekerja pula di kilang buat batik. Aku mendapat kerja tu dengan pertolongan kawan-kawan sekampungku yang telah bekerja lebih lama dariku. Aku kerja sebagai mewarnakan batik yang telah siap dilukis. Kerja ni juga memerlukan aku berdiri tetapi suasananya lain sebab kilang batik ni terbuka. Angin kipas dan angin dari luar dapat masuk dan dapat bergerak dengan bebas. Disiplinnya takde la ketat macam kilang betul. Kilang ini terletak di satu tempat di kawasan pantai yang agak jauh juga dari rumah aku tetapi pihak majikan telah menyediakan sebuah van untuk mengambil dan menghantar kami.

Gaji dikira berdasarkan berapa banyak batik yang telah aku siapkan. Kalau rajin kerja dapat la banyak. Sehelai batik untuk sepasang baju dibayar RM6 – RM8 bergantung susah atau senang corak batik tersebut. Dalam sehari kalau dapat siapkan 3 – 4 pasang pun dah ok. Kain batik sarung pula dibayar lebih murah sekitar RM2 –RM3 sahaja. Ini cerita tahun 1990. Harga barang pun masih murah lagi waktu itu. Bekerja di sini dapat memberikan aku satu pengalaman yang tak ternilai harganya. Baru sekarang aku tahu bagaimana batik dihasilkan. Lagi pun aku memang suka bak-bak kreatif ni. Aku memang suka sangat dengan apa-apa seni pun.

Selang berapa minggu keputusan SPM pun keluar. Aku terlalu gembira melihat keputusan peperiksaan ku dan memasang angan-angan untuk meneruskan pengajian ke universiti. Aku dan kawan-kawan seperjuangan mula sibukkan diri dengan membeli dan mengisi borang-borang untuk meneruskan pengajianku. Aku tidak berapa minat untuk manjadi seorang guru jadi aku tidak pernah memohon untuk masuk ke maktab perguruan walaupun semua kawan-kawanku telah memohonnya. Cita-citaku hanya untuk meneruskan pengajian ke universiti untuk menjadi seorang akauntan. Selain seni dan kreatif, aku juga berminat dalam kira-mengira. Masa di sekolah, mata pelajaran yang aku paling minat adalah seni lukis, matematik dan simpan kira.

Bersambung....
0 comments

Keperluan Suami Isteri

Mengetahui keperluan pasangan adalah titik permulaan kepada sesuatu perhubungan yang berkualiti. Namun begitu masih ramai pasangan suami isteri yang belum mengetahui apakah keperluan-keperluan tersebut.

Ramai juga yang mengganggap bahawa keperluan suami isteri adalah makan, minum, tempat tinggal dan seks sahaja. Namun hakikat sebenarnya adalah masih panjang lagi selain dari yang tersebut di atas. Berikut adalah antara keperluan suami dan isteri yang telah dikenal pasti:-

1. Kasih Sayang

Ekspresi kasih sayang perlu dilakukan samada melalui kata-kata, kad ucapan, hadiah, pelukan, ciuman atau tingkah laku. Ia akan membuatkan pasangan anda merasa disayangi, direstui, selamat dan selesa. Ia juga bermaksud yang kita mengambil berat pasal pasangan kita dan membawa mesej bahawa " aku amat sayangkan kamu dan akan sentiasa bersama kamu selamanya". Pasangan yang mendapat kasih sayang yang secukupnya akan merasa betapa indahnya hidup ini, riang, gembira dan bertenaga namun kehidupan yang sebaliknya bagi pasangan yang kurang mendapatkan kasih sayang.

2. Perbualan

Melalui perbualan, setiap pasangan dapat memenuhi perkongsian isi hati dan buah fikiran. Ini boleh membuatkan pasangan tersebut saling cinta menyintai satu sama lain. Tapi seeloknya biar lah perbualan itu berunsurkan rasa cinta dan tidak menyakitkan hati masing-masing. Selalunya semasa bercinta, setiap pasangan banyak bertoleransi antara satu sama lain namun mengapa selepas berkahwin senarionya berbeza? Jangan dibiarkan senario ini melarat sampai boleh menjejaskan hubungan. Perbualan yang kurang menggambarkan bahawa pasangan kurang sudi malah enggan mendengar dan enggan memahami luahan fikiran dan perasaan pasangannya.

3. Kejujuran dan Kepercayaan

Keperluan ini adalah terlalu penting dalam sesuatu hubungan. Tanpa kejujuran dan kepercayaan, seseorang itu akan merasa sangsi terhadap pasangannya. Kebanyakkan pasangan inginkan perhubungan yang jujur yang dapat membuatkan masing-masing rasa selamat. Jadi maklumat tepat mengenai buah fikiran, perasaan, tabiat, yang disukai dan tidak disukai, kisah masa lampau, aktiviti harian dan rancangan masa depan perlulah didedahkan kepada pasangan bagi menimbulkan kepercayaan dan keyakinan di hati pasangan kita.

4. Sokongan Kewangan

Sesetengah pasangan berkahwin hanya kerana duit. Duit memang penting namun adakah ia satu keperluan bagi anda. Jika anda tidak bekerja tentulah anda memerlukan sokongan kewangan ini daripada pasangan anda untuk menyara hidup keluarga. Perkara ini amat subjetif dan soal kecukupan kewangan pula amat berbeza antara setiap orang. Bagi setiap pasangan yang mempunyai keinginan dan kehendak yang terlalu tinggi dan tidak dapat diluahkan tentulah akan merasa tidak puas hati. Salah satu cara untuk mengetahui samada anda memerlukan sokongan kewangan ialah dengan bertanya kepada diri sendiri secara jujur dan ikhlas, adakah anda berpuashati dengan keadaan kewangan anda sekarang?

5. Komitmen pada Keluarga

Keperluan ini tidak merujuk kepada penjagaan anak semata-mata tetapi juga kepada kesediaan untuk memikul tanggungjawab menghabiskan masa bersama anak-anak, mendidik mereka dan mengembangkan potensi anak supaya menjadi orang yang berguna bila dewasa. Secara ringkasnya ia merujuk kepada penilaian ke atas penglibatan pasangan dalam pengasuhan dan pendidikan anak-anak.

6. Teman Riadah

Kenapa semasa bercinta seseorang sanggup menghabiskan masa bersama-sama tak kira dalam pe saja yang dilakukan oleh pasangannya. Tak kira lah semasa ber"shopping" ke, pergi tengok konsert ke, nak makan ke, atau ingin melakukan sesuatu riadah. Masing-masing sanggup untuk memupuk minat dalam aktiviti riadah yang disukai pasangan agar dapat bertemu dan menghabiskan masa bersama.(padahal dia tak minat pun tapi pura-pura minat sebab nak bersama pasangan kan) Dalam erti kata lain, kalau boleh mereka tak mahu berpisah walau sesaat pun (kalau boleh nak mati pun bersama-sama, betul tak...? Adakah anda pun begitu?). Tetapi kenapa pula bila dah berkahwin dengan secara drastiknya perkara ini berubah. Adakah aktiviti ini perlu dihentikan begitu je..? (Tepuk dada tanya selera anda sendiri) Kalau begitu siapa pula yang akan menemani pasangannya jika salah seorang masih lagi ingin meneruskan aktiviti ini...(silap haribulan pasangan kita jumpa dengan orang lain baru padan muka kita..ya tak?) Oleh itu jadikanlah ini satu keperluan kalau inginkan rumahtangga anda bahagia sama macam bercinta.

7. Kepuasan seksual

Perkahwinan ibarat satu perjanjian setia yang menghalalkan hubungan seks antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga merupakan satu komitmen untuk saling tahu dan saling respons kepada keperluan seksual pasangan secara eksklusif. Kepuasan seksual adalah satu isu di antara anda dan pasangan anda. Kalau ia tak diurus dengan bijaksana boleh membawa kepada masalah-masalah yang lain. Oleh itu wujudkanlah satu fantasi hebat tentang bagaimana keperluan seksual ini dapat dipuaskan sepenuhnya oleh pasangan masing-masing. (agar pasangan kita tak cari orang lain..)

8. Penampilan Menarik

Masa bercinta, wahhh.....hebatnya penampilan anda. Semua benda hendak dijaga (dalam dan luar) agar sentiasa dipandang elok oleh pasangan. Adakah ini bersifat sementara je? Dan ada juga yang mengganggap bahawa keperibadian adalah lebih penting daripada kecantikan fizikal. Namun begitu ada juga individu yang mahukan pasangan sentiasa berada dalam keadaan menarik. Dia akan merasa bangga dan teruja bila dapat memperagakan pasangannya depan kawan-kawan. Aspek yang paling penting dalam penampilan seseorang itu adalah berat badan, bentuk tubuh, pakaian, gaya rambut dan kebersihan.

9. Sanjungan

Semua pasangan ingin dihormati, dihargai dan disanjungi. Kata-kata pujian seolah-olah mempunyai kuasa ajaib untuk menyampaikan penghargaan kita dan ia tidak melibatkan apa-apa kos pun. Oleh itu sentiasa lah memuji pasangan masing-masing. Bawakan pujian masa bercinta ke alam berumah tangga pula. Ia sememangnya dapat memberikan satu impak yang cukup manis dalam sesuatu hubungan. Sebaliknya kalau kata-kata kritikan atau komen negatif yang selalu anda ucapkan, maka tidak hairan lah kalau rumah tangga anda ibarat retak menunggu belah. Jadi janganlah mengeluarkan kata-kata yang boleh melukakan hati pasangan kerana ianya dapat menjejaskan sesuatu perhubungan.
0 comments

Kisah Zainab Isteri Rasulullah

Zainab Binti Khuzaimah Bin Abdullah adalah isteri Rasulullah yang ke 5. Oleh kerana dia seorang yang terlalu pemurah dan amat dermawan, dia dikenali dengan nama Ummu Masakin di kalangan sahabat. Dia selalu menghulurkan bantuan kepada orang-orang miskin di sekitar Madinah.

Sebelum menjadi isteri Rasulullah, Zainab pernah berkahwin dengan Tufail Bin Haris iaitu seorang pejuang Islam. Malangnya jodoh mereka tidak panjang. Tufail telah terkorban di dalam peperangan Badar dan ditabalkan sebagai mati syahid. Kemudian Zainab telah berkahwin pula dengan Abdullah Bin Jahsh tetapi umur perkahwinan mereka juga tidak lama apabila suaminya yang ke 2 ini pun telah terkorban juga, mati syahid dalam peperangan Uhud.

Zainab memang bertuah kerana telah menjadi seorang isteri kepada 2 orang syuhadah tetapi bagaimana pula dengan masa depannya. Dapat ke dia meneruskan hidup tanpa suami tercinta. Demi menyelamatkan keadaan isteri kepada 2 orang sahabat yang telah terkorban, Rasulullah mengambil keputusan untuk mengahwini Zainab. Mereka telah berkahwin pada tahun tu juga. Ketika itu Zainab telah berusia 30 tahun dan tergolong dalam ketogeri janda muda. Kalau tidak diselamatkan oleh Rasulullah, kehidupan seorang janda seperti Zainab pastinya akan terbiar tanpa perhatian pada zaman itu.

Bagi Zainab pula, walaupun masih muda tetapi jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan yang terlalu takut untuk bersuami lagi setelah kedua-dua suaminya meninggal dunia. Setelah bergelar isteri kepada Rasulullah, Zainab dikenali sebagai Ummul Mukminin. Tapi sayangnya, kehidupannya bersama Rasulullah tidak lama iaitu lebih kurang 2 bulan sahaja apabila beliau telah meninggal dunia. Beliau juga menjadi isteri ke 2 Rasulullah yang meninggal dunia semasa hayat Rasulullah selepas Siti Khadijah.

Sememangnya Zainab amat bertuah kerana Rasulullah sendiri yang menyembahyangkan jenazahnya. Dan sebagai penghormatan, Rasulullah telah mengebumikan jenazah Zainab di Jannah Al Baqi' bersama sahabat-sahabat yang lain. Walaupun sejarah hidupnya bersama Rasulullah tidak lama namun keperibadiannya patut dicontohi. Sifatnya yang sangat bersimpati dengan golongan miskin masih dikekalkan sehingga ke akhir hayatnya.

Jadi, mari lah kita sama-sama jadikan contoh dari sifat dermawan Zainab ini. Mudah-mudahan ia dapat dicontohi oleh semua kaum wanita di zaman ini terutamanya yang kaya raya.
0 comments

Kehidupan Selepas Bergelar Isteri...

30 Nov 2009, sehari selepas bergelar seorang isteri, di awal pagi lagi hujan telah turun tanpa henti membawa ke petang dan ke malam. Kadang-kala renyai dan kadang-kala lebat. Di pagi hari yang sejuk itu terasa terlalu malas untuk bangun dari tidur. Badan pun rasa terlalu penat tapi aku gagahi juga untuk bangun kerana perlu menunaikan solat subuh dan menyediakan sarapan untuk suami ku.

Sarapan pagi tu aku cuma panaskan gulai semalam je. Masih tinggal saki bakinya walaupun tak banyak. Suami ku tidak boleh makan daging (alahan) jadi aku cuma siapkan lauk ayam dan ikan masin je untuk dia. Kebiasaan dikampung ku sarapan pagi adalah nasi, tengahari nasi dan malam pun nasi juga...(nasi kan makanan ruji rakyat Malaysia).

Pada hari tu tiada pe yang dapat kami lakukan. Nak pergi berjalan-jalan pun tak boleh sebab hujan mencurah-curah tanpa henti. Suami ku pula terasa macam tak sedap badan je. Katanya macam nak deman. Kerana sayangkan suami, aku kirimkan ubat kat adik aku. kebetulan dia dan suaminya hendak ke pekan. Aku suruh dia belikan ubat deman dan sakit urat kat klinik kat pekan tu. Suami aku pula asyik tidur je pada hari tu. Kejap-kejap buat tahi mata. Aku akan kejutkan dia untuk bangun makan dan solat je. Kesian juga aku tengok dia.

Aku, mak dan adik yang bongsu teruskan kerja yang masih belum siap lagi. Pinggan mangkuk yang telah dibasuh pun harus disusun di tempat sepatutnya. Walaupun kenduri tu sederhana je tetapi kalau tengok pada pinggan mangkuk yang telah digunakan, mak oiii...banyaknya ...macam kenduri besar-besaran pulak. Macam tu la selalunya kalau keluarga aku buat majlis, tak kira la majlis tahlil ke, doa selamat ke, aqiqah ke, mesti orang yang datang tu ramai. Kadang-kadang tak terlayan tetapi mereka tak kisah sebab selalunya mereka akan buat macam rumah sendiri. Nak makan ke, minum ke, mereka akan ambil sendiri, tak perlu nak hidangkan kalau dah sibuk sangat.

Dah lepas la beban keluarga aku selama ni. Dah terlalu lama mereka ingin tengok aku berkahwin, akhirnya tercapai juga hajat mereka. Cuma sekarang ni tinggal seorang je lagi iaitu adik bongsuku. Umurnya juga sekarang telah mencecah 30 tahun, pun masih belum bertemu jodoh. Dalam keluarga aku, kami 7 beradik, aku la orang yang paling lambat sekali dapat jodoh. Pe tidaknya, umur dah masuk 37 tahun baru nak berkahwin. Sedangkan aku adalah anak yang ke 3 tetapi adik aku dapat jodoh lebih dahulu dari aku.

Tu pun nasib baik ada orang yang nak. Kalau tak sampai tua la aku tak kahwin...betul tak?... Dan sekarang tinggal la adik bongsuku seorang je lagi....Famili aku kata, mungkin yang "last" ni akan buat kenduri besar-besaran... tak tau la betul ke tak...kita tengok je la nanti....Kami buka bernazar tapi cuma merancang. Kalau ada rezeki lebih baru la buat kenduri secara besar-besaran...insyaAllah..
0 comments

Majlis Bersejarah

Tarikh 29 Nov 2009, dimana berlangsungnya majlis persandingan ku. Walaupun sambutannya sederhara namun ia tetap meriah dengan kehadiran sanak-saudara dan juga teman-teman. Syukur juga pada Allah yang ESA kerana memelihara majlis tersebut dari perkara-perkara yang tidak diingini.

Walaupun majlis ku itu berlangsung pada musim tengkujuh tapi dengan izinNya tiada setitik hujan pun turun pada hari tersebut, sedangkan hari sebelumnya dan selepas majlis itu berlangsung, hujan turun tanpa henti selama beberapa hari dan kadang-kala turun dengan lebatnya dan menyebabkan banjir di beberapa negeri dan daerah di kawasan pantai timur.

Pada majlis tersebut aku dan suami mengenakan pakaian berwarna oren lembut dan satu lagi berwarna krim. Pakaian tersebut direka sendiri oleh aku dan juga adikku ( Kami sama-sama pandai menjahit..). Kain warna oren hanya sesuai dijadikan baju kurung sementara kain warna krim aku jadikan baju kebaya singkat(yang ni aku potong tapi adik aku yang jahit sebab aku ada banyak benda lagi nak buat).

Pelamin ku juga aku reka sendiri mengikut kreativiti ku. Simple tapi boleh tahan la juga. Aku cuma sewa peralatannya sahaja seperti papan untuk pentas, kerusi dan kain. Bunga hiasan milik sendiri. Bagi diriku, itu lebih menjimatkan kalau kita ada sedikit kepandaian..(psst...memang saya ni betul-betul berminat dalam gubah-mengubah ni..nak bagitau je..jangan marah) Tidak perlu membazirkan wang ringgit untuk sesuatu yang kita nak guna dan pakai dalam masa sehari je. Bagi orang yang banyak duit itu lain cerita....(ini cuma cerita tentang diri saya je tau)

Boleh dikatakan semua benda tentang majlis perkahwinanku itu aku buat dan reka sendiri (tak percaya ke???). Dari kad undangan perkahwinan, beg kertas untuk para tetamu, bunga telur (tengok la gambar kat sebelah tu, cantik tak?) semuanya aku buat sendiri mengikut warna tema majlisku. Aku memang suka mencipta sesuatu yang lain dari kebiasaan. Kalau boleh semua benda aku ingin buat sendiri tetapi masa je tidak mencukupi. Aku seorang yang bekerja, cuma waktu malam dan hari minggu je dapat aku siapkan barang-barang untuk majlis perkahwinanku itu. Lagi pun kami cuma bertunang lebih kurang 5 bulan sahaja sebelum majlis perkahwinan kami berlangsung. Mana cukup masa nak siapkan semuanya.... Penat ooiiii......Tuhan je yang tahu.

Dari segi "make-up" pula aku tak gunakan mana-mana khidmat mak andam pun. Aku nak berjimat seboleh mungkin. Suamiku bukan dari golongan orang berada. Kalau dinilaikan, keluarga aku lebih senang dari keluarganya (jangan salah faham plak, aku bukan nak aibkan keluarga dia, cuma nak bagitau keadaan sebenar je). Sebab itu la aku taknak menyusahkan dia. Tukang "make-up"nya pula tidak lain dan tidak bukan adik iparku sendiri dan juga sepupu ku (mereka berdua ni suka "make-up", semua tentang alat "make-up" dia tahu. ya lah, mereka kerja kat pasaraya jadi "saleswoman" alat-alat "make-up" katakan, dapat semua tu free je. Takde masalah nak bagi aku pakai sedikit, betul tak?).

Majlis berlangsung macam biasa dari pukul 12.00 tengahari membawa ke malam. (Biasa la kenduri kat kampung katakan. mana set masa habis pukul berapa). Penat memang la penat tapi pengalaman tu terlalu berharga. Detik dan Memori tu akan tetap kusimpan dalam sanubariku sampai bila-bila...Yang paling penat adalah mak dan adik-adik ku. Kesian pada mak sebab terpaksa masak sendiri makanan untuk para tetamu (jiran-jiran pun tolong juga..hidup kat kampung katakan.Tolong menolong amalan mereka). Mak aku lebih suka masak sendiri kalau buat majlis pe-pe pun termasuk majlis perkahwinan adik beradik ku yang terdahulu(lagi sedap dan menjimatkan). Jadi tak heran la kalau majlis perkahwinan aku pun dia nak masak sendiri.

Aku kesian juga kat adik-adik ku yang kena basuh periuk dan pinggan mangkuk pada malam tu juga sedangkan aku cuma tolong-tolong hulur je benda-benda yang nak dibasuh tu kepada mereka (aku pun penat juga sebab kena bergerak kesana kemari sedangkan mereka cuma duduk je sambil membasuh benda-benda tu...huhu..). Sampai pukul 12 tengan malam pun belum habis lagi kami membasuh. Kesian kan.....tapi aku dah tak larat lagi dah. Aku minta masuk tidur dahulu kerana dah tak banyak lagi yang tinggal untuk dibasuh. Cuma ada satu kawah kecil dan 2 atau 3 periuk yang besar-besar je lagi.

Suami ku pun dah lama masuk bilik, penat agaknya. Maklum la dia datang dari jauh...dari Pahang pastu belum dapat berehat lagi... Tapi aku tau dia cuma tidur-tidur ayam je, sebab masa aku masuk dia terus sapa aku. Aku tau dia tunggu aku la tu..untuk raikan malam pertama kami...jeng jeng jeng ....jangan marah ya. Jumpa lagi..
0 comments

Saat Bergelar Isteri...

Tanggal 28 Nov 2009, detik jam 8.30 malam, saat ini bermulalah penghidupan baru bagi diriku. Statusku juga telah bertukar. Kalau selama ini aku diberi gelaran "cik" tapi kali ini telah bertukar kepada "puan". Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya aku pada saat ni. Apa tidaknya. Di kala ini umurku sudah pun mencecah 37 tahun tapi baru sekarang bertemu jodoh.

Perkenalan selama lebih kurang 1 tahun dengan suamiku kini berakhir dengan perkahwinan. Walaupun selama ini aku banyak kali dikecewakan namun itu tidak mematahkan semangatku untuk bercinta lagi. Aku yakin Allah lebih mengetahui dari aku siapa jodohku sebenarnya. Dan kini impian ku untuk mendirikan rumahtangga telah tercapai...Amin..aku mengucapkan syukur pada Allah yang maha ESA.

Namun begitu, tanpa ku sedari rupanya tanggungjawabku telah bertambah. Kalau selama ini aku cuma bersendirian melakukan sesuatu perkara tapi kali ni tidak lagi. Aku telah bergelar seorang isteri. Dan aku sudah pun berteman. Suamiku adalah segala-galanya bagi ku kini. Terlepas sudah tanggungjawab keluargaku terhadap diriku dan kini telah memberikan tugas itu kepada suamiku pula..

Sekarang ni aku terpaksa mendapatkan keizinan darinya terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu perkara. Jika tidak, aku akan dianggap berdosa. Terasa beratnya bebanan ini namun aku akan cuba menjadi seorang isteri yang terbaik buatnya. Aku berjanji akan cuba jadi seorang isteri yang taat dan setia hanya padanya. Itu janjiku....

Malam itu kami memilih persalinan warna putih untuk majlis pernikahan kami. Majlis akad nikah berlangsung di masjid. Sudah menjadi kebiasaan orang-orang dikampung ku mengadakan majlis akad nikah dimasji-masjid. Selesai je majlis akad nikah, suamiku sarungkan sebentuk cincin kepada ku buat majlis membatalkan air sembahyang. Selepas itu diadakan majlis jamuan makan untuk keluarga mertua ku.
0 comments