Kisah Hidupku Bhg 2

Dalam masa menunggu keputusan SPM dan tawaran ke universiti, aku tidak meneruskan pengajian ke sekolah menengah tinggi disebabkan keadaan ayahku yang tidak berapa sihat. Ayah disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan asma yang kronik di awal tahun 1989, di saat aku ingin menghadapi peperiksaan SPM. Ayah dah tak boleh bekerja kuat seperti dulu lagi dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kesian juga aku tengok ayah dan mak. Kadang-kadang ayah terpaksa tinggal di wad hospital untuk beberapa hari. Mak lah yang selalu temankan ayah bila ayah masuk hospital. Tinggallah kami adik beradik di rumah bersama nenek.

Ibu ku seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Tanggungan keluarga semuanya terletak atas bahu ayahku. Aku pula mempunyai 7 orang adik beradik dan aku adalah anak yang ke 3. Adik-adik ku semuanya masih bersekolah. Adik yang bongsu baru darjah 5.
Kata mak, macamana aku nak bersekolah kalau takde duit. Mak mula buat kuih untuk dijual pada waktu pagi dan petang dan mula berjimat untuk membolehkan aku dan adik-adik menghabiskan persekolahan kami di sekolah menengah rendah. Kadang-kadang aku dan adik-adik tolong juga menjaja kuih di sekitar kampung. Kalau sekolah menengah tinggi pun aku tak dapat teruskan macamana nak ke universiti. Hatiku tiba-tiba rasa pilu dan sedih. Apa yang harus aku lakukan.

Mengenangkan keadaan itulah aku mengambil keputusan untuk bekerja kilang. Aku juga mula mengisi borang-borang kerja kerajaan yang keluar dalam suratkhabar. Aku cuma memohon untuk jawatan yang rendah-rendah saja yang sepadan dengan kelayakan ku. Ada juga aku memohon untuk jawatan yang layak dengan keputusan SRP sahaja. Apa boleh buat, aku terpaksa bekerja demi mengenangkan nasib keluargaku. Dalam pada itu aku juga tetap berharap dan berdoa pada Allah semoga aku akan mendapat tawaran dan melayakkan aku untuk meneruskan pengajianku.

Satu hari aku menerima surat tawaran untuk memasuki salah sebuah universiti di utara tanah air. Aku benar-benar gembira namun kegembiraan ku hanya sekejap sahaja. Kata mak, aku nak teruskan sekolah dengan apa? Nak bayar yuran dengan apa? Nak ke sana bagaimana? Mana nak dapat duit untuk perbelanjaan…Adik-adik pun masih bersekolah lagi.. Aku tidak membantah kerana aku benar-benar faham keadaan bapaku yang sudah tidak boleh bekerja lagi. Namun jauh disudut hatiku, aku benar-benar kecewa dan sedih.

Aku tahu ibu bapa ku tidak menghalang untuk aku teruskan pengajian tetapi disebabkan keadaan keluargaku pada ketika itu tidak mengizinkan. Mak kata kalau ada duit memang tak ada masalah tapi kat mana nak cari duit. Kita bukan orang kaya. Di peringat sekolah menengah pun aku seringkali terlambat untuk membayar tambang bas apatah lagi untuk membayar yuran hostel. Aku terpilih untuk tinggal di hostel disebabkan keputusan cemerlang ku. Pemilihan ini hanya diberi keutamaan kepada mereka yang layak dan yang ingin menduduki peperiksaan SRP dan SPM sahaja.

Sehingga keputusan peperiksaan SPM telah keluar pun aku masih lagi tidak dapat melunaskan yuran hostel. Namun disebabkan keputusan cemerlangku di dalam peperiksaan tersebut, guru besar telah memansuhkan hutang tersebut. Jadi aku tak perlu membayar apa-apa lagi kepada pihak sekolah. Ternyata guru-guru disekolah ku dulu benar-benar memahami kedaifan keluarga aku. Aku mengucapkan syukur pada Allah.

Aku tidak mempunyai kakak, Cuma ada 2 orang abang. Abang-abang ku juga terpaksa menamatkan pengajian setakat peringkat SPM sahaja. Itu aku tak kisah sebab keputusan SPM mereka pun tidak memberangsangkan. Mereka berdua mempunyai bakat semulajadi macam ayahku. Ayahku seorang tukang rumah dan boleh dikatakan kesemua adik beradik ku termasuk diriku mempunyai bakat yang kreatif macam ayah.

Setelah tamat je persekolahan, abang-abangku bekerja sebagai buruh kontrak. Ringan la sikit beban ayahku. Tetapi berapa ringgit sangat gaji mereka untuk menanggung persekolahan kami. Atas pujukan seorang kawan yang sama-sama bersekolah dengan ku, aku membawa diri ke Kluang Johor. Penghijrahan ku ke negeri Johor bukanlah dirancang tetapi disebabkan terlalu kecewa kerana tidak dapat memasuki pusat pengajian tinggi. Aku bukan pergi berdua sahaja tetapi ada lagi beberapa orang yang aku tak kenal pada mulanya. Sebenarnya aku telah memohon untuk bekerja kilang di sana dan kebetulan mereka telah datang ke kelantan untuk mencari pekerja seramai yang boleh.

Aku mengikuti rombongan tersebut walaupun ibubapaku terasa amat berat untuk melepaskan aku pergi. Apa tidaknya, aku bukan seorang anak yang pernah berpisah dari keluargaku. Bandar Kota Bharu pun aku boleh sesat kalau aku keluar sendirian, inikan pula tempat yang terlalu asing bagi aku. Aku menyakinkan keluarga aku dengan mengatakan aku malu untuk tinggal di kampung sebab tak dapat meneruskan pengajian sedangkan kawan-kawan sekampungku semuanya telah meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Lagi pun aku cakap aku bukan pergi sendirian, aku bersama rombongan. Akhirnya ibubapa ku terpaksa mengalah.

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment