Kisah Hidupku Bhg 1

Sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan SPM, aku sudah buat perancangan untuk mencari kerja sementara untuk memenuhi masa terbuang. Bersama kawan seperjuangan, kami terus memulakan langkah ke sebuah kilang yang terletak di kawasan perindustrian yang tidak berapa jauh dari rumahku. Dari satu kilang ke satu kilang akhirnya kami diterima bekerja di sebuah kilang pakaian. Kawanku ditempatkan dibahagian potong lebihan benang sedangkan aku pula di bahagian mengosok pakaian.

Kilang tu memang besar dan mempunyai lebih dari seribu pekerja. Kawanku beruntung sebab dia bekerja dalam keadaan duduk sahaja tetapi aku pula bekerja sambil berdiri sepanjang masa sampai waktu balik. Dah la panas sebab kilang tu cuma guna kipas je, bertambah lagi bahang dari sterika yang terlalu banyak. Mana aku dapat bertahan. Berpeluh-peluh aku sepanjang masa, kaki pula terasa lenguh sebab asyik berdiri je. Kadang-kadang aku curi-curi juga untuk duduk tapi mana boleh lama sebab kerja aku memerlukan untuk aku capai target. Sehari mesti kena dapat target yang telah ditetapkan.

Kadang-kadang baju yang aku dah gosok pun mereka akan ‘reject’ atas sebab tertentu. Walaupun begitu aku tetap bersabar, ku kira ini hanya sementara waktu sahaja. Selang beberapa hari tiba pula bulan puasa. Kesabaranku makin tergugat. Kejap-kejap aku ke tandas untuk membasahkan tubuhku. Dan kadang-kadang juga disebabkan aku tidak dapat bertahan lagi, aku curi-curi minum air kat dalam tandas tu. Batal puasa aku tetapi Tuhan je yang tahu keadaan aku masa tu. Kali ni aku dah nekad untuk berhenti kerja. Bila dapat je duit gaji aku terus berhenti. Aku nak cari kerja lain.

Selepas berhenti dari kilang pakaian , aku bekerja pula di kilang buat batik. Aku mendapat kerja tu dengan pertolongan kawan-kawan sekampungku yang telah bekerja lebih lama dariku. Aku kerja sebagai mewarnakan batik yang telah siap dilukis. Kerja ni juga memerlukan aku berdiri tetapi suasananya lain sebab kilang batik ni terbuka. Angin kipas dan angin dari luar dapat masuk dan dapat bergerak dengan bebas. Disiplinnya takde la ketat macam kilang betul. Kilang ini terletak di satu tempat di kawasan pantai yang agak jauh juga dari rumah aku tetapi pihak majikan telah menyediakan sebuah van untuk mengambil dan menghantar kami.

Gaji dikira berdasarkan berapa banyak batik yang telah aku siapkan. Kalau rajin kerja dapat la banyak. Sehelai batik untuk sepasang baju dibayar RM6 – RM8 bergantung susah atau senang corak batik tersebut. Dalam sehari kalau dapat siapkan 3 – 4 pasang pun dah ok. Kain batik sarung pula dibayar lebih murah sekitar RM2 –RM3 sahaja. Ini cerita tahun 1990. Harga barang pun masih murah lagi waktu itu. Bekerja di sini dapat memberikan aku satu pengalaman yang tak ternilai harganya. Baru sekarang aku tahu bagaimana batik dihasilkan. Lagi pun aku memang suka bak-bak kreatif ni. Aku memang suka sangat dengan apa-apa seni pun.

Selang berapa minggu keputusan SPM pun keluar. Aku terlalu gembira melihat keputusan peperiksaan ku dan memasang angan-angan untuk meneruskan pengajian ke universiti. Aku dan kawan-kawan seperjuangan mula sibukkan diri dengan membeli dan mengisi borang-borang untuk meneruskan pengajianku. Aku tidak berapa minat untuk manjadi seorang guru jadi aku tidak pernah memohon untuk masuk ke maktab perguruan walaupun semua kawan-kawanku telah memohonnya. Cita-citaku hanya untuk meneruskan pengajian ke universiti untuk menjadi seorang akauntan. Selain seni dan kreatif, aku juga berminat dalam kira-mengira. Masa di sekolah, mata pelajaran yang aku paling minat adalah seni lukis, matematik dan simpan kira.

Bersambung....

0 comments:

Post a Comment