Kisah Hidupku Bhg 3

Maka, pada akhir tahun 1990 aku memulakan langkah ke negeri Johor dengan perasaan gembira. Aku di tempatkan di sebuah rumah di kawasan Bandar Kluang yang telah dijadikan hostel yang baru dan hanya rombongan kami je tinggal di situ. Pada sangkaan ku, hidup berjauhan dengan keluarga dapat memberikan kebebasan kepada aku, dan ianya amat mengembirakan. Namun pe yang terjadi adalah sebaliknya.

Sebagai seorang anak yang tak pernah kenal erti kebebasan dan kehidupan di kota metropolitan, aku telah bergaul dengan kawan-kawan yang membawa aku mengenali semua itu. Daripada seorang yang bertudung dari zaman sekolah rendah lagi, aku mengubah penampilanku. Aku dah mula pakai skirt tapi bukan la skirt yang singkat sampai paha cuma paras betis je dan melepaskan rambutku yang panjang sampai paras punggung. Syukur sebab aku masih lagi ingat asal usulku. Dan aku juga tak pernah berpakaian seksi selama ini bila berada di luar rumah.

Kerana terlalu mengikut kawan-kawan juga lah , aku nyaris-nyaris termakan pujukan dan rayuan seorang lelaki yang kukira terlalu baik pada mulanya. Satu malam, dia memujuk ku supaya temankan dia makan malam. Pada mulanya aku menolak sebab dia tak bagi aku bawa kawan untuk temankan aku. Tetapi aku akur juga sebab dia terus-terusan memujuk ku. Dengan membonceng motosikal bersamanya, kami kesatu gerai makan yang tak berapa jauh dari hostelku. Selepas makan dia mengajak ku kerumahnya yang tidak berapa jauh dari situ. Katanya dia ingin mengambil sesuatu yang tertinggal. Ku sangkakan dia tinggal bersama keluarganya, jadi aku ikut je la.

Sampai je kat depan rumahnya (rumah jenis kotak 4 pintu), aku lihat rumahnya gelap gelita. Rumah sebelah nya cerah bermakna ada orang di dalamnya. Dia mengajak ku masuk ke dalam tetapi aku menolaknya sebab takut nanti kena tangkap basah pulak. Tetapi dia terus-terusan mengajak ku ke dalam dengan menarik tangan aku seperti memaksa. Aku manyuruh dia bukakan lampu dahulu baru aku masuk tetapi ternyata dia mepunyai niat lain. Dengan menarik tangan ku sambil memaksa aku masuk ke dalam, dia terus menutup pintu tetapi aku tahan pintu tu dengan kaki ku. Aku cuma seorang wanita yang lemah mana mampu melawan tenaga seorang lelaki.

Akhirnya pintu tu tertutup juga dan dia memelukku dari belakang sambil menarik aku kedalam rumahnya dalam keadaan gelap gelita. Tetapi aku tetap melawan dengan berpauk pada tombol pintu sambil mencari-cari untuk membuka kunci pintu tersebut. Aku nyaris diperkosanya tetapi tuhan masih menyayangi aku. Dengan tidak disangka tombol pintu rumah nya serupa dengan tombol pintu dapur rumah aku kat kampung. Memang susah sikit nak buka kalau orang tak tau. (Tombol pintu jenis zaman dahulu, bukan macam tombol zaman sekarang yang senang dibuka). Di saat aku dalam kesusahan untuk melepaskan diri dari pelukan lelaki tersebut, yang terlintas di fikiran ku kala itu adalah wajah ibubapaku.

Kalau apa-apa berlaku kepadaku tentu mereka lah yang mendapat malu. Lantas aku memohon pada Allah semoga selamatkan aku dari lelaki jahanam itu. Aku meraung meminta tolong tetapi tiada sesiapa pun yang mendengar suaraku, kerana mulut aku telah ditutup oleh tangan lelaki jahanam itu. Dengan kekuatan yang diberikan Allah pada ku ketika itu aku dapat menolak lelaki itu dan terus membuka pintu dan melarikan diri tetapi sempat lagi aku mengambil kasut aku.. Aku menoleh ke belakang kalau-kalau lelaki jahanam itu mengekoriku. Rumahnya dengan hostel aku cuma lebih kurang 3 km sahaja. Sambil berlari-lari sesekali aku menoleh kebelakang apabila terdengar bunyi motosikal. Aku takut kalau-kalau lelaki tu masih mengejar ku tetapi ternyata aku dalam keadaan selamat. Ternyata Allah telah mendengar doaku dan terus melindungi aku. Akhirnya aku sampai ke hostel dengan keadaan selamat. Sampai di hostel aku menangis-nangis dan menceritakan apa yang berlaku kepada kawan-kawanku.

Bersambung...
0 comments

Kisah Hidupku Bhg 2

Dalam masa menunggu keputusan SPM dan tawaran ke universiti, aku tidak meneruskan pengajian ke sekolah menengah tinggi disebabkan keadaan ayahku yang tidak berapa sihat. Ayah disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan asma yang kronik di awal tahun 1989, di saat aku ingin menghadapi peperiksaan SPM. Ayah dah tak boleh bekerja kuat seperti dulu lagi dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kesian juga aku tengok ayah dan mak. Kadang-kadang ayah terpaksa tinggal di wad hospital untuk beberapa hari. Mak lah yang selalu temankan ayah bila ayah masuk hospital. Tinggallah kami adik beradik di rumah bersama nenek.

Ibu ku seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Tanggungan keluarga semuanya terletak atas bahu ayahku. Aku pula mempunyai 7 orang adik beradik dan aku adalah anak yang ke 3. Adik-adik ku semuanya masih bersekolah. Adik yang bongsu baru darjah 5.
Kata mak, macamana aku nak bersekolah kalau takde duit. Mak mula buat kuih untuk dijual pada waktu pagi dan petang dan mula berjimat untuk membolehkan aku dan adik-adik menghabiskan persekolahan kami di sekolah menengah rendah. Kadang-kadang aku dan adik-adik tolong juga menjaja kuih di sekitar kampung. Kalau sekolah menengah tinggi pun aku tak dapat teruskan macamana nak ke universiti. Hatiku tiba-tiba rasa pilu dan sedih. Apa yang harus aku lakukan.

Mengenangkan keadaan itulah aku mengambil keputusan untuk bekerja kilang. Aku juga mula mengisi borang-borang kerja kerajaan yang keluar dalam suratkhabar. Aku cuma memohon untuk jawatan yang rendah-rendah saja yang sepadan dengan kelayakan ku. Ada juga aku memohon untuk jawatan yang layak dengan keputusan SRP sahaja. Apa boleh buat, aku terpaksa bekerja demi mengenangkan nasib keluargaku. Dalam pada itu aku juga tetap berharap dan berdoa pada Allah semoga aku akan mendapat tawaran dan melayakkan aku untuk meneruskan pengajianku.

Satu hari aku menerima surat tawaran untuk memasuki salah sebuah universiti di utara tanah air. Aku benar-benar gembira namun kegembiraan ku hanya sekejap sahaja. Kata mak, aku nak teruskan sekolah dengan apa? Nak bayar yuran dengan apa? Nak ke sana bagaimana? Mana nak dapat duit untuk perbelanjaan…Adik-adik pun masih bersekolah lagi.. Aku tidak membantah kerana aku benar-benar faham keadaan bapaku yang sudah tidak boleh bekerja lagi. Namun jauh disudut hatiku, aku benar-benar kecewa dan sedih.

Aku tahu ibu bapa ku tidak menghalang untuk aku teruskan pengajian tetapi disebabkan keadaan keluargaku pada ketika itu tidak mengizinkan. Mak kata kalau ada duit memang tak ada masalah tapi kat mana nak cari duit. Kita bukan orang kaya. Di peringat sekolah menengah pun aku seringkali terlambat untuk membayar tambang bas apatah lagi untuk membayar yuran hostel. Aku terpilih untuk tinggal di hostel disebabkan keputusan cemerlang ku. Pemilihan ini hanya diberi keutamaan kepada mereka yang layak dan yang ingin menduduki peperiksaan SRP dan SPM sahaja.

Sehingga keputusan peperiksaan SPM telah keluar pun aku masih lagi tidak dapat melunaskan yuran hostel. Namun disebabkan keputusan cemerlangku di dalam peperiksaan tersebut, guru besar telah memansuhkan hutang tersebut. Jadi aku tak perlu membayar apa-apa lagi kepada pihak sekolah. Ternyata guru-guru disekolah ku dulu benar-benar memahami kedaifan keluarga aku. Aku mengucapkan syukur pada Allah.

Aku tidak mempunyai kakak, Cuma ada 2 orang abang. Abang-abang ku juga terpaksa menamatkan pengajian setakat peringkat SPM sahaja. Itu aku tak kisah sebab keputusan SPM mereka pun tidak memberangsangkan. Mereka berdua mempunyai bakat semulajadi macam ayahku. Ayahku seorang tukang rumah dan boleh dikatakan kesemua adik beradik ku termasuk diriku mempunyai bakat yang kreatif macam ayah.

Setelah tamat je persekolahan, abang-abangku bekerja sebagai buruh kontrak. Ringan la sikit beban ayahku. Tetapi berapa ringgit sangat gaji mereka untuk menanggung persekolahan kami. Atas pujukan seorang kawan yang sama-sama bersekolah dengan ku, aku membawa diri ke Kluang Johor. Penghijrahan ku ke negeri Johor bukanlah dirancang tetapi disebabkan terlalu kecewa kerana tidak dapat memasuki pusat pengajian tinggi. Aku bukan pergi berdua sahaja tetapi ada lagi beberapa orang yang aku tak kenal pada mulanya. Sebenarnya aku telah memohon untuk bekerja kilang di sana dan kebetulan mereka telah datang ke kelantan untuk mencari pekerja seramai yang boleh.

Aku mengikuti rombongan tersebut walaupun ibubapaku terasa amat berat untuk melepaskan aku pergi. Apa tidaknya, aku bukan seorang anak yang pernah berpisah dari keluargaku. Bandar Kota Bharu pun aku boleh sesat kalau aku keluar sendirian, inikan pula tempat yang terlalu asing bagi aku. Aku menyakinkan keluarga aku dengan mengatakan aku malu untuk tinggal di kampung sebab tak dapat meneruskan pengajian sedangkan kawan-kawan sekampungku semuanya telah meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Lagi pun aku cakap aku bukan pergi sendirian, aku bersama rombongan. Akhirnya ibubapa ku terpaksa mengalah.

Bersambung...
0 comments

Kisah Hidupku Bhg 1

Sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan SPM, aku sudah buat perancangan untuk mencari kerja sementara untuk memenuhi masa terbuang. Bersama kawan seperjuangan, kami terus memulakan langkah ke sebuah kilang yang terletak di kawasan perindustrian yang tidak berapa jauh dari rumahku. Dari satu kilang ke satu kilang akhirnya kami diterima bekerja di sebuah kilang pakaian. Kawanku ditempatkan dibahagian potong lebihan benang sedangkan aku pula di bahagian mengosok pakaian.

Kilang tu memang besar dan mempunyai lebih dari seribu pekerja. Kawanku beruntung sebab dia bekerja dalam keadaan duduk sahaja tetapi aku pula bekerja sambil berdiri sepanjang masa sampai waktu balik. Dah la panas sebab kilang tu cuma guna kipas je, bertambah lagi bahang dari sterika yang terlalu banyak. Mana aku dapat bertahan. Berpeluh-peluh aku sepanjang masa, kaki pula terasa lenguh sebab asyik berdiri je. Kadang-kadang aku curi-curi juga untuk duduk tapi mana boleh lama sebab kerja aku memerlukan untuk aku capai target. Sehari mesti kena dapat target yang telah ditetapkan.

Kadang-kadang baju yang aku dah gosok pun mereka akan ‘reject’ atas sebab tertentu. Walaupun begitu aku tetap bersabar, ku kira ini hanya sementara waktu sahaja. Selang beberapa hari tiba pula bulan puasa. Kesabaranku makin tergugat. Kejap-kejap aku ke tandas untuk membasahkan tubuhku. Dan kadang-kadang juga disebabkan aku tidak dapat bertahan lagi, aku curi-curi minum air kat dalam tandas tu. Batal puasa aku tetapi Tuhan je yang tahu keadaan aku masa tu. Kali ni aku dah nekad untuk berhenti kerja. Bila dapat je duit gaji aku terus berhenti. Aku nak cari kerja lain.

Selepas berhenti dari kilang pakaian , aku bekerja pula di kilang buat batik. Aku mendapat kerja tu dengan pertolongan kawan-kawan sekampungku yang telah bekerja lebih lama dariku. Aku kerja sebagai mewarnakan batik yang telah siap dilukis. Kerja ni juga memerlukan aku berdiri tetapi suasananya lain sebab kilang batik ni terbuka. Angin kipas dan angin dari luar dapat masuk dan dapat bergerak dengan bebas. Disiplinnya takde la ketat macam kilang betul. Kilang ini terletak di satu tempat di kawasan pantai yang agak jauh juga dari rumah aku tetapi pihak majikan telah menyediakan sebuah van untuk mengambil dan menghantar kami.

Gaji dikira berdasarkan berapa banyak batik yang telah aku siapkan. Kalau rajin kerja dapat la banyak. Sehelai batik untuk sepasang baju dibayar RM6 – RM8 bergantung susah atau senang corak batik tersebut. Dalam sehari kalau dapat siapkan 3 – 4 pasang pun dah ok. Kain batik sarung pula dibayar lebih murah sekitar RM2 –RM3 sahaja. Ini cerita tahun 1990. Harga barang pun masih murah lagi waktu itu. Bekerja di sini dapat memberikan aku satu pengalaman yang tak ternilai harganya. Baru sekarang aku tahu bagaimana batik dihasilkan. Lagi pun aku memang suka bak-bak kreatif ni. Aku memang suka sangat dengan apa-apa seni pun.

Selang berapa minggu keputusan SPM pun keluar. Aku terlalu gembira melihat keputusan peperiksaan ku dan memasang angan-angan untuk meneruskan pengajian ke universiti. Aku dan kawan-kawan seperjuangan mula sibukkan diri dengan membeli dan mengisi borang-borang untuk meneruskan pengajianku. Aku tidak berapa minat untuk manjadi seorang guru jadi aku tidak pernah memohon untuk masuk ke maktab perguruan walaupun semua kawan-kawanku telah memohonnya. Cita-citaku hanya untuk meneruskan pengajian ke universiti untuk menjadi seorang akauntan. Selain seni dan kreatif, aku juga berminat dalam kira-mengira. Masa di sekolah, mata pelajaran yang aku paling minat adalah seni lukis, matematik dan simpan kira.

Bersambung....
0 comments

Keperluan Suami Isteri

Mengetahui keperluan pasangan adalah titik permulaan kepada sesuatu perhubungan yang berkualiti. Namun begitu masih ramai pasangan suami isteri yang belum mengetahui apakah keperluan-keperluan tersebut.

Ramai juga yang mengganggap bahawa keperluan suami isteri adalah makan, minum, tempat tinggal dan seks sahaja. Namun hakikat sebenarnya adalah masih panjang lagi selain dari yang tersebut di atas. Berikut adalah antara keperluan suami dan isteri yang telah dikenal pasti:-

1. Kasih Sayang

Ekspresi kasih sayang perlu dilakukan samada melalui kata-kata, kad ucapan, hadiah, pelukan, ciuman atau tingkah laku. Ia akan membuatkan pasangan anda merasa disayangi, direstui, selamat dan selesa. Ia juga bermaksud yang kita mengambil berat pasal pasangan kita dan membawa mesej bahawa " aku amat sayangkan kamu dan akan sentiasa bersama kamu selamanya". Pasangan yang mendapat kasih sayang yang secukupnya akan merasa betapa indahnya hidup ini, riang, gembira dan bertenaga namun kehidupan yang sebaliknya bagi pasangan yang kurang mendapatkan kasih sayang.

2. Perbualan

Melalui perbualan, setiap pasangan dapat memenuhi perkongsian isi hati dan buah fikiran. Ini boleh membuatkan pasangan tersebut saling cinta menyintai satu sama lain. Tapi seeloknya biar lah perbualan itu berunsurkan rasa cinta dan tidak menyakitkan hati masing-masing. Selalunya semasa bercinta, setiap pasangan banyak bertoleransi antara satu sama lain namun mengapa selepas berkahwin senarionya berbeza? Jangan dibiarkan senario ini melarat sampai boleh menjejaskan hubungan. Perbualan yang kurang menggambarkan bahawa pasangan kurang sudi malah enggan mendengar dan enggan memahami luahan fikiran dan perasaan pasangannya.

3. Kejujuran dan Kepercayaan

Keperluan ini adalah terlalu penting dalam sesuatu hubungan. Tanpa kejujuran dan kepercayaan, seseorang itu akan merasa sangsi terhadap pasangannya. Kebanyakkan pasangan inginkan perhubungan yang jujur yang dapat membuatkan masing-masing rasa selamat. Jadi maklumat tepat mengenai buah fikiran, perasaan, tabiat, yang disukai dan tidak disukai, kisah masa lampau, aktiviti harian dan rancangan masa depan perlulah didedahkan kepada pasangan bagi menimbulkan kepercayaan dan keyakinan di hati pasangan kita.

4. Sokongan Kewangan

Sesetengah pasangan berkahwin hanya kerana duit. Duit memang penting namun adakah ia satu keperluan bagi anda. Jika anda tidak bekerja tentulah anda memerlukan sokongan kewangan ini daripada pasangan anda untuk menyara hidup keluarga. Perkara ini amat subjetif dan soal kecukupan kewangan pula amat berbeza antara setiap orang. Bagi setiap pasangan yang mempunyai keinginan dan kehendak yang terlalu tinggi dan tidak dapat diluahkan tentulah akan merasa tidak puas hati. Salah satu cara untuk mengetahui samada anda memerlukan sokongan kewangan ialah dengan bertanya kepada diri sendiri secara jujur dan ikhlas, adakah anda berpuashati dengan keadaan kewangan anda sekarang?

5. Komitmen pada Keluarga

Keperluan ini tidak merujuk kepada penjagaan anak semata-mata tetapi juga kepada kesediaan untuk memikul tanggungjawab menghabiskan masa bersama anak-anak, mendidik mereka dan mengembangkan potensi anak supaya menjadi orang yang berguna bila dewasa. Secara ringkasnya ia merujuk kepada penilaian ke atas penglibatan pasangan dalam pengasuhan dan pendidikan anak-anak.

6. Teman Riadah

Kenapa semasa bercinta seseorang sanggup menghabiskan masa bersama-sama tak kira dalam pe saja yang dilakukan oleh pasangannya. Tak kira lah semasa ber"shopping" ke, pergi tengok konsert ke, nak makan ke, atau ingin melakukan sesuatu riadah. Masing-masing sanggup untuk memupuk minat dalam aktiviti riadah yang disukai pasangan agar dapat bertemu dan menghabiskan masa bersama.(padahal dia tak minat pun tapi pura-pura minat sebab nak bersama pasangan kan) Dalam erti kata lain, kalau boleh mereka tak mahu berpisah walau sesaat pun (kalau boleh nak mati pun bersama-sama, betul tak...? Adakah anda pun begitu?). Tetapi kenapa pula bila dah berkahwin dengan secara drastiknya perkara ini berubah. Adakah aktiviti ini perlu dihentikan begitu je..? (Tepuk dada tanya selera anda sendiri) Kalau begitu siapa pula yang akan menemani pasangannya jika salah seorang masih lagi ingin meneruskan aktiviti ini...(silap haribulan pasangan kita jumpa dengan orang lain baru padan muka kita..ya tak?) Oleh itu jadikanlah ini satu keperluan kalau inginkan rumahtangga anda bahagia sama macam bercinta.

7. Kepuasan seksual

Perkahwinan ibarat satu perjanjian setia yang menghalalkan hubungan seks antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga merupakan satu komitmen untuk saling tahu dan saling respons kepada keperluan seksual pasangan secara eksklusif. Kepuasan seksual adalah satu isu di antara anda dan pasangan anda. Kalau ia tak diurus dengan bijaksana boleh membawa kepada masalah-masalah yang lain. Oleh itu wujudkanlah satu fantasi hebat tentang bagaimana keperluan seksual ini dapat dipuaskan sepenuhnya oleh pasangan masing-masing. (agar pasangan kita tak cari orang lain..)

8. Penampilan Menarik

Masa bercinta, wahhh.....hebatnya penampilan anda. Semua benda hendak dijaga (dalam dan luar) agar sentiasa dipandang elok oleh pasangan. Adakah ini bersifat sementara je? Dan ada juga yang mengganggap bahawa keperibadian adalah lebih penting daripada kecantikan fizikal. Namun begitu ada juga individu yang mahukan pasangan sentiasa berada dalam keadaan menarik. Dia akan merasa bangga dan teruja bila dapat memperagakan pasangannya depan kawan-kawan. Aspek yang paling penting dalam penampilan seseorang itu adalah berat badan, bentuk tubuh, pakaian, gaya rambut dan kebersihan.

9. Sanjungan

Semua pasangan ingin dihormati, dihargai dan disanjungi. Kata-kata pujian seolah-olah mempunyai kuasa ajaib untuk menyampaikan penghargaan kita dan ia tidak melibatkan apa-apa kos pun. Oleh itu sentiasa lah memuji pasangan masing-masing. Bawakan pujian masa bercinta ke alam berumah tangga pula. Ia sememangnya dapat memberikan satu impak yang cukup manis dalam sesuatu hubungan. Sebaliknya kalau kata-kata kritikan atau komen negatif yang selalu anda ucapkan, maka tidak hairan lah kalau rumah tangga anda ibarat retak menunggu belah. Jadi janganlah mengeluarkan kata-kata yang boleh melukakan hati pasangan kerana ianya dapat menjejaskan sesuatu perhubungan.
0 comments